Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera. 

 

Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita masih diberi kesihatan yang terbaik dan masih dapat menjalankan tugas yang telah diamanahkan olehNya kepada kita semua.

 

Tahun 2021 telah berlalu pergi bersama semua kenangan pahit, manis, suka dan duka kepada kita semua. Tahun ini, seperti tahun 2020 adalah tahun yang sangat mencabar bagi kita dan seluruh dunia yang begitu terkesan dengan pandemik COVID-19. Ianya merupakan satu situasi yang sukar kepada kita semua dan perlu kita harungi bersama.

 

Kesan akibat daripada penularan wabak Covid-19 yang masih berlarutan ini turut memberi impak yang besar terhadap tugas-tugas pengauditan kerana kerja-kerja auditan ini dikategorikan sebagai “non-essential”. Keadaan ini sedikit sebanyak merencatkan perancangan audit yang telah ditetapkan sepanjang tahun 2021. 

 

Dalam mendepani cabaran pada masa pandemik sekarang ini, saya memohon jasa baik dan kerjasama semua staf IAO untuk sama-sama mendukung usaha-usaha yang akan IAO akan jalankan. Yakinlah bahawa setiap langkah yang telah diatur adalah bagi memastikan IAO mendapat ganjaran yang terbaik walaupun dalam keadaan yang sangat mencabar. Saya juga ingin menyeru agar semua terus mematuhi setiap arahan-arahan yang dikeluarkan agar kita sama-sama dapat membendung wabak Covid-19 ini daripada terus menular.

 

Pada 02 Ogos 2021, IAO telah menerima 1 orang staf baharu yang terdiri daripada staf audit. Alhamdulillah, dengan pertambahan staf baharu serta gandingan bersama daripada semua staf IAO sedia ada, adalah diharapkan ianya dapat meningkatkan mutu kerja IAO disamping dapat membantu UniMAP selaras dengan objektif yang telah ditetapkan.

 

Akhir kata, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua warga UniMAP yang sentiasa menyokong Pejabat Audit Dalam selama ini. Terima kasih juga kepada semua staf Pejabat Audit Dalam di atas komitmen dan semangat berpasukan yang ditunjukkan selama ini. Diharap ianya akan berterusan dan berkekalan.

 

 

MEMBIASAKAN YANG BETUL 

MEMBETULKAN YANG BIASA

 

 

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

‘Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan’

 

Saya Yang Menjalankan Amanah,

Pengarah 

Pejabat Audit Dalam

Universiti Malaysia Perlis

 

31 Disember 2021